Ku coretkan luahan di atas, buat rakan seperjuangan ku, Bamboo nib. Ya, Bamboo nib. Tahu Bamboo nib itu apa? Mata bagi pen teblet untuk pengkarya yang menggunakan digital media.
Alkisahnya begini. Baru-baru ini ku rasa tidak selesa menggunakan pen tablet ku. Apabila aku teliti pada matanya, kelihatan matanya sudah haus, pendek, serong, hampir tenggelam ke dalam. Bila difikirkan semula, aku telah menggunakan tablet ini sejak tiga tahun yang lepas. Sepanjang aku menggunakannya, aku tak pernah tukar nib tersebut. Jika tak silap aku, dalam kotak pembelian tablet ini dahulu, ada tersedia nib-nib gantian. Lantas, aku segera menyelongkar kembali kotak tablet ku yang masih tersimpan rapi. Benar seperti sangkaan ku, nib gantian berada di situ.
Setelah bertanya kepada rakan yang menggunakan digital media, juga setelah menonton youtube bagaimana hendak menukar nib, aku pun segera menukarnya. Aku memang dikira MASIH baru dalam alam digital media. Jadi, maafkanlah kebodohanku dalam tidak tahu menukar nib.
Selesai menukar nib, ada satu perasaan bagai baru melihat dunia. Betapa bezanya perasaan menggunakan nib baru. Aku mencapai nib lama untuk dicampakkan ke dalam tong sampah. Namun, entah mengapa terasa berat hati ku untuk membuangnya. Lalu, saat ku merenung nib lama, pelbagai memori muncul secara tiba-tiba ke benak fikiranku.
Ini, nib pertama yang digunakan bersama tablet pertama ku. Bersama dia, aku belajar digital media. Bersama dia, aku bereksperimen untuk pelbagai kerja seni. Bersama dia, aku mengejar deadline. Bersama dia, aku mencari rezeki halal. Bersama dia, aku menghasilkan pelbagai komik. Bersama dia, aku merasai kegagalan dan kejayaan. Bersama dia, bersama dia, bersama dia. Semuanya mengenai karier ku, ada dia di sebalik tabir.
Aku terus membatalkan niat untuk membuang nib lama ini. Sungguh tak sampai hati. Aku pun melekatkan nib lama itu ke dalam sketchbook ku agar aku masih boleh menyimpannya walau dia sudah tidak dapat digunakan.
Mungkin bagi pandangan orang lain, ini hanyalah kepingan plastik. Tapi bagi ku, ini adalah rakan seperjuangan. Rakan seperjuangan yang tidak terlihat selama ini.