Seperti yang aku janji sebelum ini, aku akan cerita kisah anak-anak Tommy. Tommy mendapat tiga ekor anak. Seekor corak tompok seperti Tommy. Seekor lagi hitam keseluruhan badan. Hitam sehitam hitamnya, bagai bontot kuali. Sehingga tak nampak mukanya. Seekor lagi, berwarna kelabu. Kelabu bagaikan kucing Russian Blue pula. Namun, tiada seekor pun bercorak seperti Guli. Ini membuatkan aku mula rasa Guli bukan bapa mereka.
Adikku Najaa, dan Umi, suka betul dapat anak kucing kelabu. Main cop-cop pulak. "Cop, yang kelabu Najaa punya.." Hampir setiap hari aku dengar ayat ini. Aku malas lah nak berebut. Biar mereka dua beranak je berebut. Aku suka yang hitam.
Lama-kelamaan, si kelabu mula tunjukkan belang. Tidak, ini bukan tunjuk belang seperti peribahasa yang bermaksud tunjuk perangai sebenar tu. Ini benar-benar tunjuk belang. Badannnya yang sebelum ini kelabu, makin lama makin kelihatan corak belang. Kini, semua kaki dan mukanya bercorak belang. Warna juga makin keperangan. Ekor menjadi hitam. Hanya tinggal badan sahaja yang masih kelabu. Makin menyerupai corak Guli. Aku kembali syak bahawa Guli adalah bapa mereka.
Apa jadi kepada Umi dan adikku yang suka kucing kelabu? Mereka mula mengeluh "Alaa.. janganlah ada belang". Boleh pula nak pilih-pilih corak kucing. Haha..